Anektod Budak Kampung 1: Ulu Kenderong, Tok Rasdi dan Lembu
Saya masih ingat bila saya menetap di kampung kelahiran Emak saya, Kampung Ulu Kenderong di Gerik, Perak. Saya tinggal dirumah papan bercampur simen warisan arwah datuk saya Allahyarham Rasdi yang saya tidak pernah sempat melihat wajahnya. Gambarnya juga tiada. Penduduk kampung memang kenal benar akan Datuk saya. “Oh, mu cucu Tok Rasdi ko? Beso dah cucu dio ni ha, ado muko dio sikit-sikit” kata warga-warga tua dikampung yang terlopong bila melihat saya. Terkenal dengan ketegasan dan kegarangannya, Tok Rasdi adalah ketua kampung yang amat disegani. Tok Rasdi, cucu mu bangga akan mu! Semoga roh-mu dicucuri rahmat.
Saya rindukan suasana kampung yang begitu mendamaikan. Dengan tahi lembu berterabur diatas jalanraya, itu tidak pernah menjadi masalah kepada penduduknya. Kelibat kambing dan lembu mudah dilihat merata-rata. Ayam daan itik pula tak usah dikira banyaknya. Jika anda bernasib baik, keluarga babi hutan melintas boleh dilihat juga.
“Lembu ada tanduk! Lembu ada tanduk! Lariii!” teriak kami apabila melihat kelibat lembu jantan yang gagah perkasa dan kelihatan bisa menanduk, memijak, melenyek dan meratah kami hidup-hidup.
Saya benci akan lembu dahulu. Terutamanya yang mempunyai tanduk dan kelihatan besar dan garang. Orang tua-tua kata, jangan pakai baju berwarna merah, risau kalau ditanduk. Jadi, bila saya dan kawan-kawan pulang dari bermain disungai, saya akan menyelit dicelah rakan-rakan, walaupun tidak memakai baju merah. Kadang-kadang saya dan membaling batu kearah lembu-lembu yang tidak berdosa, tanda protes atas kehadirannya. Hakikatnya, lembu itu tidak pernah menanduk sesiapa. Kasihan lembu. Maafkan saya lembu jika lebam dan sakit badanmu. Tapi mungkin anda telah menjadi korban AidilAdha dikampungku. Berkorban untuk manusia. Sungguh mulia dari diriku, manusia yang hina.
Anektod Budak Kampung 2: Sungai, Ular dan itu Tahi
Rumah tinggalan arwah Tok Rasdi terdapat sebatang sungai dibelakangnya. Jaraknya seperlaung cuma dari dapur emak saya menyediakan masakan setiap hari. Di sungai itulah saya dan sepupu-sepupu yang sebaya bermain dan berendam sehingga demam dibuatnya. Pada satu hari, tandas yang saya panggil jamban dirumah rosak. Jadi, emak menyuruh saya melepaskan sahaja hajatku disungai itu. Saya tidak suka bila disuruh kesungai kerana saya risau dilihat orang dan juga kerana kadang-kadang sedang enak kami bermandi–manda, kelihatan benda asing berwarna kuning terapung-apung dari hulu sungai. Ya, itu tahi. Berlari-lari kami naik ke darat kerana kegelian sambil menyumpah seranah sesiapa yang bertanggungjawab atas ‘pencemaran’ itu. Menyambung kembali misi melepaskan hajat, saya terpaksa meredah semak sambil melaung kearah emak yang berjanji untuk melihat saya dari jauh.
“Mak, tengok laa Lee. Takut ada babi!” teriakku yang berhenti seketika ditengah-tengah semak untuk memastikan ibuku sentiasa melihat. Tiba-tiba saya terasa sesuatu sedang bergerak dikaki saya. Alangkah terkejutnya bila melihat seekor ular kecil sedang berada tepat di buku lali saya dan lidahnya yang bercabang itu jelas kelihatan terjelir-jelir. “Mak, ulaaaaarr!” saya menjerit dan memecut berlari kembali kerumah. Kerana hakikatnya, besar atau kecil, ular tetap ular. Menurut emak, saya demam beberapa hari dan hanya melepaskan hajat keesokan harinya.
Mungkin ular itu hanya ingin berkawan.