Up | Down

 

+ GoodRead

~ ~

Cinta Adalah Sekelompok Tahi
karya: Hafez Iftiqar Tarmizi

+++



Dia terbongkok-bongkok di hadapan saya. Asyik dan khusyuk. Dalam keadaan begitu, saya pasti dia tidak mahu diganggu. Saya menjadi hairan melihat dia mengutip setompok demi setompok tahi kering yang berjajaran di tepi jalan raya. Tidak seberapa jauh dari tempat kami berada, ada satu papan tanda besar tertulis di atasnya, ‘Jalan Menuju Kejayaan.' Saya sepatutnya ke sana, menelusuri jalan menuju kejayaan, kata orang, saya perlu mengutip seberapa banyak ilmu dan pengalaman untuk ke sana. Tapi sekarang saya terhenti disebabkan hairan melihat dia yang saya kira umurnya sekitar hujung belasan tahun atau awal dua puluhan. Tangan kanannya mengelek raga berbentuk hati. Tangan kirinya digunakan khusus mengutip tahi yang berbaris di sisi bahu jalan.
"Oi! Apsal ko kutip tahi?" Tanya saya penuh minat.
"Tengok betul-betul! Ini bukan tahi! Ini cinta!" Katanya separuh memekik, ada menyampah di hujung nada.

Masakan! Saya sudah berumur 23 tahun. Tidak mungkin saya tidak mengenali mana satu tahi dan mana satu bukan. Matahari sudah meninggi. Saya semakin jijik melihat tahi yang sudah pepak dalam bakul berbentuk hati. Pagi itu, saya mengetahui bahawa cinta adalah sekelompok tahi.


"Oi! Aku nak gerak dulu!" Jerit saya.


"Pergilah! Jangan kacau aku, aku tengah kutip cinta!" Dia membalas.


"Oi! Selamat kutip tahi!" Tempik saya.


"Ini bukan tahi! Ini cinta!" Dia bertempik dengan nada marah. Kali ini dia geram betul lalu dibalingnya setompok cinta, bukan, setompok tahi. Saya mengelak.


Saya terus berlari menyusuri jalan yang panjang itu meninggalkan dia yang khusyuk mengutip setompok demi setompok deretan tahi buat memenuhi bakul berbentuk hati. Pun begitu, saya masih percaya dia salah mendefinisikan cinta. Cinta sepatutnya putih dan bersih. Cinta bukanlah kawanan tahi yang busuk lagi membusukkan. Apa-apalah.... 'Selamat mengutip tahi,' bisik saya, lirih.


 


 

0 comments:

Post a Comment